Monday, August 31, 2009

Salam kemerdekaan ke 52


Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Alhamdullilah dan syukur kerana hari ini negaraku tercinta menyambut hari kemerdekaannya ke 52.
Semalam aku menonton filem 1957: Hati Malaya di tv. Begitu perit, pahit dan kelatnya para pemimpin terdahulu mencari kebebasan untuk negara ini. Dan begitu manis, indah dan intimewanya perasaan memperoleh kemerdekaan itu.

Namun berapa ramai antara kita yang begitu beriya-iya ingin mengekalkan kemerdekaan dan kebebasan kita?

Semangat patriotisme di kalangan rakyat walau masih tebal tapi makin menipis dari hari ke hari. Apakah erti merdeka kepada kita? Hanya cukup bersorak di dataran? Pergi membeli belah kerana hari ini hari cuti? Merempit?

Jika ditanya diri ini, tidak banyak yang aku lakukan. Aku bukan pejuang. Aku hanya orang kebiasaan. Namun telah lama aku sematkan dalam hati dan jiwa betapa aku cintakan Malaysia dan aku sesekali tidak akan bertindak di luar akal yang akan merugikan negara, bangsa dan agamaku.
Ayuh semua. Marilah kita mengekalkan kebebasan kita. Jangan persiakan perjuangan para peminpin, pejuang dan pembela terdahulu. Jangan cemarkan kebebasan kita dengan tindakan bodoh dan mengikut nafsu.
Salam merdeka saudaraku semua....

Friday, August 28, 2009

Berjimat di bulan puasa?

Syukur alhamdullilah, hari ini sudah masuk puasa ke 7. Sudah seminggu berpuasa, tup tap tup tap lagi 3 minggu kita bakal beraya - yipeeeee!
Tapi sepanjang berpuasa ini, aku terfikir - boleh kah kita berjimat di bulan puasa? Aku kira-kira balik - lebih kurang sama saja perbelanjaan harian di waktu berpuasa atau tidak. Puasa tidak makan minum siang hari - tapi kos untuk berbuka itu umpama seharian punya belanja. Hehehe. Inilah yang dikatakan - nafsu bazar Ramadhan.
Tapi tak mengapa - aku sekarang sudah menghadkan belanja bazar. Tak sanggup aku membazir setiap hari. Beli karipap 2 ringgit cukup. Makan tapau dari rumah. Kalau nak tau, hari ni masuk hari ke-5 aku berbuka dalam kereta. Yelah, masuk kerja jam 8. Terang-terang aku bertolak dari rumah pukul 7. Tapi tak mengapa, berbuka dalam kereta pun syok juga. Lepak seorang diri, pasang radio, makan. Lagi senang. Tak payah berebut tempat di kafe. Tapi mulai minggu depan aku kena berebut lah, sebab minggu depan aku mula kerja shiff petang. Ok, kejap lagi bazar Ramadhan tempat aku dah nak mula, aku kena bersiap sedia. Hahahaha!

Tuesday, August 25, 2009

Nafsu membuak di bulan Ramadhan

Satu-satunya nafsu yang sukar aku kawal di bulan puasa ni - nafsu makan. Hari pertama dan kedua Ramadhan sahaja aku hampir habis RM100 untuk berbelanja di pasar Ramadhan. Tak ke gila namanya itu!!! Apa yang aku beli entahla. Ada saja yang teringin pabila ke pasar Ramadhan. Nampaknya aku kena kawal diri aku. Kalau terusan begini, bukan sahaja membazir, poket aku pun tak berpuasa sekali.

Hari ni gaji. Hahaha. Syoknya. Sabtu ni aku nak pergi beli-belah untuk raya. Saja pergi awal - nanti taklah kelam kabut, lagi-lagi KL tu, kalau tak sesak tak sah.

Friday, August 21, 2009

Ramadhan kembali menjengah




Alhamdullillah, kita bertemu lagi dengan Ramadhan yang mulia. Kepada semua saudara di luar sana, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Salam Ramadhan dan semoga kita mengambil kesempatan yang hanya setahun sekali ini untuk lebih kuat beribadat kepada-Nya.


Girang rasanya untuk bertemu dengan Ramadhan. Rindu untuk merasa lagi suasana berpuasa, berbuka, bersahur, berterawikh...dan dalam pada itu senarai baru untuk si Izrail akan keluar dan sebagai seorang yang amat kurang ibadahnya - aku takut jika aku atau insan tersayang berada di dalam senarai itu.

Semoga amal ibadah kita semua diterima oleh Yang Kuasa.
Selamat Berpuasa Zahir & Batin.

Tuesday, August 18, 2009

Insiden di LDP

Pagi ini aku melalui LDP. Jam 9 lebih memang normal jalan sesak. Tika leka memandang ke depan, aku dikejutkan dengan insiden kemalangan kecil yang terlebih dahulu disedari oleh isteriku.

Bukan insiden besar pun. Seorang pakcik dan pembonceng, mungkin anak atau isterinya - melanggar belakang sebuah Avanza yang agak baru berdasarkan pletnya. Pakcik yang agak berumur itu terjatuh ke jalan, sambil lututnya sedaya upaya menahan motornya dari terus jatuh ke jalan tar. Aku tau dia pasti sakit, sekurangnya lututnya pedih menahan berat motor dan terhentak ke jalan, ditambah dengan umurnya. Ini mengingatkan aku kepada ayahku yang baru saja kemalangan motor 2 minggu lepas. Aku tau macam mana orang tua sakitnya mereka terlibat dalam insiden sebegini.

Yang menjadi perhatianku ialah pemandu Avanza itu sendiri. Aku faham mungkin keretanya baru keluar showroom atau dia sudah lewat ke pejabat. Tetapi sesudah pakcik itu melanggar belakang keretanya, dia keluar dengan muka bongkak, melihat belakang Avanzanya, masuk ke kereta dan berlalu pergi. Meninggalkan pakcik itu terkial-kial cuba mengangkat motor keseorangan dalam kesakitan - anaknya tergamam tidak mampu berbuat apa-apa. Mungkin terkejut dan mungkin juga takut dimarah dek pemandu Avanza.

Amat memalukan. Sebagai seorang manusia yang tuhan kurniakan hati, perasaan dan belas - sanggup lelaki itu berlalu begitu sahaja tanpa menghiraukan pakcik itu. Bagi aku itu sudah cukup kejam. Mungkin pakcik itu yang bersalah sebab terlalu dekat mengekori keretanya - tetapi itu bukan alasan untuk menolak perasaan belas sesama insan. Tidakkah terfikir olehnya untuk bertanya jika pakcik itu cedera? Atau busuk-busuk pun, tolong mengangkat motor yang mahu menghempap tubuh pakcik itu. Ini tidak, dengan gaya bongkak terus berlalu. Umpama selepas melanggar anak kucing.

Inikah bangsa Malaysia yang kononnya penuh sopan, budi pekerti dan bertimbangrasa? Fikir-fikirkanlah. Orang bongkak seperti itu akan tua jua satu hari nanti dan akan tahu bagaimana rasanya tua itu. Dan kita yang masih membuka mata dan minda, ingat-ingatlah.

Monday, August 17, 2009

Salah undi tak masuk syurga?

Hmmm...hari ni keluar lagi kenyataan dari seorang pemimpin yang mengatakan ahli parti yang satu lagi tak akan masuk syurga. Ini bermakna ahli yang berjumlah jutaan ini kesemuanya akan terjerumus ke api neraka. Yelah, dah tak masuk syurga maknanya akan ke neraka.

Satu lagi kenyataan yang dipengaruhi sentimen politik yang begitu tebal. Siapakah mereka atau kita untuk mengadili sama ada manusia ini boleh ke syurga dan insan itu akan ke neraka? Kita hanya manusia kerdil yang amat tidak layak untuk menghukum siapa akan ke syurga neraka. Ini semua urusan Allah swt.

Entahlah dengan politik kita. Warnanya pelbagai. Aku tetap dengan pendirian yang syurga neraka ditentukan oleh Allah swt, bukan oleh si polan itu ini. Aku percaya tidak semestinya kalau berkopiah dan berserban itu akan pasti akan ke syurga, dan kalau berkemeja itu akan ke neraka. Zahir tidak membuktikan apa-apa. Allah tahu apa jua niat anda dan Allah jua yang akan mengadili. Anda boleh berbohong kepada seluruh alam tetapi anda tidak boleh bohong Allah swt.

Jika hendak berkempen pun, ingatlah batas. Batas sebagai seorang manusia, batas sebagai Melayu dan batas sebagai Islam. Agama dan akidah janganlah dipermainkan seperti anda bermain politik. Akibatnya anda sendiri akan tanggung, kalau tidak di alam fana ini, sudah pasti di alam sana. Nauzubillah....

Itu tak salah...ini tak salah...mereka saja yang betul!!!

Aku terpanggil untuk menulis - kerana bengang yang amat sangat. Minggu lepas kita baca suratkhabar. Antara topik paling menarik perhatian ialah - orang bukan Islam boleh hina Islam sebab mereka tidak faham Islam. Kenyataan apakah ini? Dalam banyak al-kisah dan ceritera politik - ini adalah antara kenyataan yang paling aku tidak boleh terima. Aku geram, bengang, marah, sedih, kecewa, dan pelbagai lagi. Tambahan pula. ayat ini keluar daripada insan yang terkenal dengan 'kepandaiannya' dalam Islam.

Aku bukanlah cerdik pandai dalam Islam, tapi aku marah apabila ada orang lain menghina Islam, tak kira dari saudara Muslim atau bukan. Tapi bila ada budaya aku boleh, engkau tak boleh - ini yang mengelirukan ramai orang Islam sendiri. Kepada fanatik-fanatik, apa yang keluar dari mulut pemimpin mereka itu lah yang betul - tanpa berfikir. Apa ini? Semua ditelan bulat-bulat tanpa membuat sebarang tapisan.

Katakanlah - kenyataan ini keluar daripada musuh mereka, wow! Sudah pasti ada suara-suara marah di sana-sini. Silap haribulan, demontrasi terus. Tapi kali ini tak mengapa, sebab yang berkata adalah pemimpin kesayangan mereka.

Kalau bukan Islam boleh hina Islam, jangan lah kaum fanatik ini marah atau mengamuk jika ada pihak luar membuat kenyataan hina Rasul, lukis gambar Rasul, buat filem hina Islam, bahkan bakar al-Quran...sebab mereka ini tidak faham Islam. Jangan marah, tapi anda perlu senyum dan berkata "Takpa la, mereka tak tau Islam.". Hmm..lepas ini makin ramailah yang berani bersuara dan membuat provokasi tentang Islam. Jika ditanya, 'Saya tak tau Islam maaaa....saya mana tau itu tak boleh maaa.......lu punya ketua cakap takpa maaaa...."

Inilah buruknya jika politik bermaharajalela di kepala, nafsu politik jika tidak dibendung ini lah akibatnya - tak kira anda ulama atau tidak, jika nafsu politik sudah penuh di kepala apa jua tak betul dihalalkan dan yang haram boleh dihalalkan. Aku sangat berharap - tak kira kita penyokong mana tapi jika berkenaan Islam dan bangsa, kita semua harus bersatu. Lupakan politik sebentar kerana Islam itu datang dari Allah swt dan Allah swt itu adalah Tuhan kita Yang Satu. Kita semua hamba-Nya dan menyembah-Nya.

Sedarlah wahai bangsaku. Bangsa lain mula mengintai peluang, tetapi kita bercakaran sesama sendiri. Apakah faedahnya? Kuasa? Harta? Harga diri? Nama? Apa pun yang kita kejar , kita tetap akan menghadap Yang Satu, dan tika itu tiada undur atau maaf. Bertaubatlah demi Islam dan Melayu kita!!!

Tuesday, August 4, 2009

Lagi lagi demontrasi...

Depa takde kerja lain ke? Tak puas hati merusuh...tak suka mengamuk. Kalaulah anak-anak korang protes dengan sikap korang sebagai mak ayah, dengan bersepanduk menyindir korang di depan jalan rumah korang, apa korang rasa? Korang peduli apa kan, sebab korang tak rasa benda-benda sebegitu.
Dahla majoriti adalah manusia sebangsa dan seagama dengan aku...malu aku! Bangsa lain ketawakan kita...korang tak tau ke? Ke saja buat tuli? Hati dah sekeras jalan tar depan Sogo? Semangat berkobar bak bara puntung rokok korang - tapi dibuat di tempat yang tak betul. Saja mencari masalah.
Mungkin mereka ini tak pernah rasa susah. Jadi apabila ada tak puas hati dengan kerajaan, mogok, merusuh, demontrasi - bila negara dan ditimpa musibah bak Palestin baru mereka ini sedar...bertuahnya hidup mereka.
Pakcik-pakcik separuh abad berkopiah dan makcik-makcik - lebih baik pakcik/makcik luangkan masa dengan anak cucu di hujung minggu. Makan cokodok atau goreng pisang di rumah dari berpanas melanggar peraturan tak bertempat. Pergi bersembang di kedai kopi lepas balik dari surau lagi bagus.
Pelajar-pelajar IPT - patut dibuang saja dari kolej. Tak mengenang jasa. Biasiswa, pinjaman, tempat belajar kerajaan sediakan, tapi menentang balik. Persis anak sekolah derhaka kepada mak ayah yang membela dan menyekolahkan. Kalau anda malas belajar sekalipun, jangan la sampai susahkan orang lain. Anda bermasalah sudah, jangan tarik orang lain.
Tak kesian ke kepada peniaga-peniaga yang tak pasal-pasal kena tutup kedai dek perangai tak senonoh korang? Korang peduli apa kan. Bukannya mak ayah korang ada buka kedai kat situ. Betul tak? Dah tu siap kata , salahkan kerajaan sebab peniaga terjejas. Kenyataan paling bodoh pernah aku dengar di alam cakerawala ini. Korang yang bertempik macam orang kena rasuk, korang yang mengganas macam Hulk hilang akal, korang yang berkumpul berarak macam kambing keluar kandang...korang kata salahkan kerajaan? Kalau lah polis negara ini macam polis luar negara, pasti beratus daripada korang ambil MC sebab kena belasah ngan belantan. Tapi kalau kena pun memang padan muka.
Sudah sudah la dari menjadi boneka. Cukup cukup la menjadi lalang. Ingat Allah. Ingat keluarga. Ingat diri sendiri. Kalau otak tu tak boleh berfikir, tak tau aku nak cakap apa...nak samakan dengan otak lembu, nanti marah pulak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Love shoes? Join us today at Kasut Kasut DotCom.

Looking for a wedding photographer?

biz card

Followers

Popular Posts

Search This Blog

Blogs

Powered by Blogger.

Social Icons

Featured Posts